Thursday, December 22, 2005

They're from my school.. ME so proud !!!!!!!

Kembar anak penjual goreng pisang catat 9A
TASEK GELUGOR 22 Dis. - Bapa mereka hanyalah seorang penjual goreng pisang tetapi kemiskinan keluarga tidak menghalang pasangan kembar Siti Hajar Shahid dan Siti Zaleha Shahid memperoleh 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Malah, kedua-dua pelajar berusia 15 tahun itu berkata, kesusahan bapa mereka menyara keluarga menjadi pendorong utama untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga pada masa depan.

Siti Zaleha berkata, mereka cukup terharu apabila melihat ketabahan bapa mereka bekerja menjual goreng pisang dan cucur udang dengan sumber pendapatan tidak menentu setiap hari.

``Kejayaan kami ini merupakan hadiah daripada kami kepada ibu bapa yang banyak bersusah payah dan sentiasa memberi dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad di sini hari ini.

Pasangan kembar yang berasal dari Kampung Permatang Sireh, Bukit Mertajam itu merupakan di antara 55 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam PMR di sekolah berkenaan.

Menurut Siti Zaleha, kesusahan keluarganya itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk membuktikan bahawa golongan kurang berkemampuan juga boleh mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

``Apabila ayah balik dari berniaga walaupun dalam keadaan letih, dia terus tengok-tengok buku dan kerja sekolah kami manakala ibu pula banyak beri nasihat supaya belajar rajin-rajin,'' katanya yang bercita-cita menjadi seorang jurutera komputer suatu hari nanti.

Siti Hajar pula berkata, disebabkan kurang berkemampuan untuk membeli buku-buku rujukan, mereka kerap mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolah yang menyediakan banyak bahan bacaan.

``Saya tidak menyangka dapat 9A kerana percubaan sebelum ini hanya dapat 7A tetapi syukur dengan keputusan ini, lebih-lebih lagi saya berasa seronok dan puas hati mendapat A dalam Matematik dan Sains yang diajar dalam bahasa Inggeris,'' katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Pasangan kembar dari empat beradik itu banyak membuat latihan dan hafalan selain memberi tumpuan penuh dalam kelas

No comments: